Saturday, February 19, 2011

Sikap Ithar Mengelakkan Kemalangan Jalan Raya

Kemalangan jalan raya terus menjadi ‘pembunuh’ utama di Malaysia. 

Terbaru seorang ibu berusia 31 tahun, empat orang anaknya serta adik lelaki beliau terkorban apabila kereta mereka dikatakan gagal memotong sebuah kenderaan di hadapan lalu bertembung dengan sebuah lori di jalan raya berdekatan bandar Pekan, Pahang.  Statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menunjukkan kemalangan jalan raya sentiasa berubah-rubah sama ada menurun atau meningkat dalam tempoh-tempoh tertentu. 
Tetapi hakikat yang berlaku ialah kemalangan jalan raya sentiasa berlaku apatah lagi pada musim perayaan yang menyaksikan peningkatan pergerakan kenderaan.  Pelbagai peraturan, undang-undang sudah diperkenalkan oleh pihak berkuasa.  Kita juga telah lihat berbagai-bagai kajian dan nasihat serta laporan media massa mengenai punca kemalangan yang memberi pengajaran kepada pengguna jalan raya.  Walaupun begitu tragedi di jalan raya terus menjadi beban masyarakat.  Apa yang pasti, segala perundangan dan nasihat yang boleh memberi kesedaran kepada masyarakat perlu diteruskan.  Ini sebagai peringatan yang berterusan yang diperlukan oleh manusia atau insan yang bersifat pelupa. 

Antara nasihat yang boleh diketengahkan untuk mengurangi kadar kemalangan jalan raya ialah agar pengguna jalan raya bersikap ithar atau altruism ketika di jalan raya. 

Apakah ithar?  Definisi ithar ialah manusia mendahulukan hajat orang lain melebihi dirinya sendiri.  Contohnya manusia menahan lapar dan dahaga demi menghilangkan lapar dan dahaga manusia lain terlebih dahulu.  Ia ialah sifat mengutamakan orang lain daripada diri sendiri.  Sifat ini adalah sifat mulia seseorang muslim yang hanya menginginkan keredhaan Allah SWT. Ini bersesuaian dengan sebuah hadis sahih yang bermaksud “Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia menyayangi saudaranya seperti dia menyayangi dirinya sendiri”.  Dalam erti yang lain ithar membawa maksud gaya hidup masyarakat yang menolong, menghormati, berbakti, bersimpati, berkasih sayang, bertimbang rasa, pemurah kepada golongan yang memerlukan bantuan dan berada dalam kesempitan.    

Dalam sejarah Islam kita dapat melihat peristiwa ithar dalam kisah Hijrah Rasulullah SAW. Saidina Ali k.w. sanggup mengambil tempat Rasulullah SAW dan tidur di katil Rasulullah SAW ketika baginda hendak berhijrah ke Madinah sedangkan Saidina Ali k.w. tahu rancangan kaum kuffar hendak membunuh Rasulullah SAW pada malam itu.

Sifat ithar turut ditunjukkan oleh kaum Ansar di Madinah, ketika kaum Muhajirin dari Mekah berhijrah ke Madinah. Kaum Muhajirun meninggalkan kampung halaman mereka di Mekah kerana Allah SWT. Mereka hanya membawa bersama mereka sedikit harta dan bekalan. Mereka disambut dengan baik oleh penduduk Madinah. Bahkan, kaum Ansar di Madinah melebihkan kaum Muhajirin daripada diri mereka sendiri.   Inilah sifat ithar yang mereka tunjukkan kepada kaum Muhajirin.

Lawan kepada sifat ithar ialah sifat pentingkan diri sendiri.  Sifat ini membawa maksud menyayangi diri sendiri sehinggakan mendahulukan kepentingan diri sendiri semata-mata tanpa menghiraukan keperluan orang lain.  Ini merupakan satu sifat buruk yang perlu dihindari oleh manusia.

Dalam konteks kemalangan jalan raya, maka kedua-dua sifat ithar dan pentingkan diri sendiri memberi kesan yang besar dari aspek positif dan negatif dalam menyumbang kepada statistik kemalangan.  

Apabila sifat ithar menjadi amalan pengguna jalan raya, maka sudah tentu wujud suasana harmoni dan bertolak ansur mendahulukan yang lain di kalangan mereka yang akhirnya boleh mengelakkan kemalangan dan seterusnya menyelamatkan nyawa.  Ini kerana pengguna jalan raya masing-masing sanggup memberi laluan, bertolak ansur walaupun kadang-kadang dalam sesuatu situasi di atas jalan raya, mereka sebenarnya lebih berhak melalui sesuatu jalan atau sebagainya. 

Faktor kelalaian manusia banyak yang menyumbang kepada nahas jalan raya.  Ini secara kesimpulannya boleh kita katakan akibat mementingkan diri sendiri.  Sifat mementingkan diri sendiri termasuklah terus memandu dalam keadaan mengantuk, memandu dalam keadaan kurang mahir dalam pemanduan kereta, tidak memeriksa keadaan kenderaan, bersikap panas baran, bersaing-saing di jalan raya, dan tidak mahu mengalah atau bertolak ansur.  

Antara punca berlaku kemalangan ialah memotong kenderaan tetapi tidak lepas sehingga menyebabkan bertembung dengan kenderaan di laluan bertentangan. Sebagai pemandu, kita sudah tentu ada yang pernah berada dalam situasi iaitu kenderaan di laluan bertentangan di hadapan kita yang cuba memotong kenderaan di hadapannya tetapi berhadapan dengan masalah memotong.  Jika situasi ini berlaku, apakah tindakan kita?  Adakah kita menyalakan lampu tinggi, memandu kenderaan macam biasa bahkan lebih laju kerana kita sebenarnya berada di jalan kita, pemandu di hadapanlah yang salah kerana memotong tanpa melihat terlebih dahulu kenderaan di hadapan? Pemandu kenderaan yang cuba dipotong itu, adakah beliau terus memecut macam biasa atau lebih laju apabila melihat ada kenderaan di belakang yang cuba memotongnya?

Jika inilah sikap kita, sudah tentu banyak lagi kemalangan akan berlaku.  Pemandu seumpama ini sebenarnya mementingkan diri sendiri yang akhirnya jika kemalangan berlaku bukan sahaja melibatkan orang lain bahkan kemalangan dan kesusahan kepada dirinya juga. Jika sifat mahmudah seperti ithar menjadi amalan, maka sudah tentu pemandu ini akan cuba memberi laluan sedapat yang mungkin kepada kenderaan yang ingin memotong dari arah bertentangan itu seperti dengan memperlahankan kenderaannya, atau mengelak ke tepi kiri sedikit tanpa memberikan lampu tinggi.  Ini kerana memberi lampu tinggi dalam budaya pemanduan kereta di negara kita bukan sesuatu yang diterima secara positif bahkan ramai yang berasa kurang selesa di samping menganggu penglihatan pemandu lain apatah lagi dalam pemanduan kecemasan.  Pemandu kenderaan yang cuba dipotong itu perlu juga memberi ruang atau kerjasama yang sepatutnya.

Banyak situasi seumpama ini di jalan raya yang kita boleh buat contoh.  Apa pun, perkara yang penting ialah sikap pengguna jalan raya itu sendiri yang boleh mengelakkan kemalangan.  Dengan bersikap ithar atau memberi keutamaan dan bertimbang rasa kepada pemandu lain, kita sebenarnya menyumbang dalam menjaga nyawa sesama manusia.  Seperti yang kita ketahui memelihara nyawa manusia merupakan salah satu tuntutan maqasid syariah dan menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha menunaikannya.

Mudah-mudahan sikap ithar yang ditunjukkan oleh sunnah dan amalan para sahabat dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita apatah lagi ketika kita menggunakan jalan raya.






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...