Tuesday, March 8, 2011

Akad Skim ‘Cepat Kaya’ Kabur



Kita kerap lihat penganjur skim cepat kaya selalu menjadikan kereta mewah dan pulangan lumayan sebagai daya tarikan. Skim cepat kaya wujud dari dulu lagi seperti skim Pak Man Telo.

Skim cepat kaya wujud dalam pelbagai bentuk sehingga kini dengan bertopengkan jualan barangan tertentu. Selagi skim ini wujud, selagi itu ramai yang akan menerima risiko kerugian.

Skim cepat kaya lebih kepada promosi untuk mencari ahli baru tanpa menitik beratkan aspek penjualan barang. Pendapatan meningkat dengan meningkatnya ahli dan bukan dengan menjual produk, perjanjian yang wujud kabur, pembelian paksa rela dalam jumlah yang besar perlu dibuat peserta untuk menjadi ahli, terima bonus, tiada banyak pilihan ketika pembelian pakej, pengunduran diri daripada transaksi tidak dibenarkan, pembelian pakej lebih besar diberi janji pulangan lebih lumayan. Ini merupakan ringkasan ciri-ciri skim cepat kaya seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Jika diteliti kepada terma dalam skim cepat kaya, ia kabur dan banyak yang tidak memenuhi piawaian kontrak jual beli. Kontrak merupakan perkara asas dalam muamalah. Dalam jual beli kita perlu lihat kepada kontrak atau akadnya. Ia mengandungi butiran melibatkan kepentingan kedua-dua pihak yang membuat kontrak samada pembeli, penjual dan juga status barang yang dijual. Kontrak yang sahih dapat memberikan penyelesaian jika berlaku sebarang pertikaian. Inilah satu perkara yang biasanya dipandang enteng oleh masyarakat.

Sebenarnya melalui kontrak kedua-dua pihak yang berkontrak terikat di bawah tuntutan undang-undang.

Dari aspek Syariah, antara syarat sah sesuatu kontrak ialah perlu ada kerelaan dan suka sama suka kedua-dua pihak berkontrak. Maksud firman Allah SWT dalam ayat ke-29, surah al-Nisa’,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu”

Jadi tidak ada paksaan, tekanan dan penipuan. Kandungan kontrak perlu jelas, barangan boleh diserah dan diterima, tidak ada syubhah, gharar kepada kedua-dua pihak yang berkontrak. Pihak yang berkontrak perlu bersikap adil dan jujur. Tempoh bertenang atau khiar untuk memulangkan barangan atau meminda kontrak dalam tempoh tertentu perlu dipenuhi kedua-dua pihak.

Kontrak dilakukan secara bertulis dengan saksi. Membuat kontrak perlu ada kebebasan tanpa mengenepikan batasan Syariah. Kedua-dua pihak perlu menunaikan janji dan memenuhi hak masing-masing. Nabi SAW bersabda “Muslim terikat kepada perjanjian mereka, kecuali perjanjian yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram (Hadis Bukhari). Ini termasuk memenuhi sebarang syarat tambahan yang dibuat bersama-sama.

Imam Bukhari meriwayatkan Jabir telah menjual untanya kepada Rasulullah SAW dengan syarat beliau dapat memanfaatkan unta yang sudah dijualnya kepada Rasulullah SAW untuk pulang ke Madinah.

Manusia perlu meletakkan tuntutan Syariah sebagai garis panduan ketika melakukan muamalah. Ini adalah kerana hasil perlakuan mereka akan ditanggung oleh mereka juga, yang baik mendapat kebaikan dan yang jahat menerima balasannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 123, maksudnya, “Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu...”

Muamalah tanpa ikatan kontrak yang jelas bercanggah dengan Syariah dan batil. Dengan itu, tidak menjadi suatu yang pelik apabila mereka yang terlibat dalam kontrak batil akan menerima pelbagai kesan negatif kerana kontrak yang batil sudah tentu tidak melindungi hak-hak orang yang berkontrak. Jadi, dalam konteks skim cepat kaya yang melencong, maka ia boleh menjadi skim cepat miskin kerana kontrak yang kabur akhirnya membawa kerugian kepada orang yang terlibat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...