Monday, April 16, 2012

Ejen Takaful Perlu Telus

Pengantara takaful mempelawa pelanggan menyertai pelan takaful. Mereka mewakili pengendali takaful dengan pelanggan.

Sebahagian kita tentu pernah dihampiri pengantara takaful. Bagi yang memahami pengurusan risiko mereka tentu memberi perhatian. Sebaliknya, yang mempunyai tanggapan negatif, umpamanya hasil pengalaman rakan tidak mendapat pampasan ketika musibah akan cepat-cepat menjauhi pengantara takaful ini.


Apa yang pasti, timbul persepsi negatif kerana wujud kes terpencil seperti tidak mendapat pampasan.  Ia biasanya timbul kerana musibah yang berlaku tidak dilindungi dalam pelan takaful yang disertai.

Peserta takaful pula tidak arif pelan takaful yang diambil apabila tidak meneliti sijil takaful mereka. Di samping itu, pengantara takaful pula tidak memperingatkan sekali lagi musibah dilindungi kepada peserta. Dengan bersikap ikhlas, pengantara takaful bukan saja dapat memberi kefahaman kepada masyarakat, bahkan dapat mengelak salah faham.

Pengantara takaful berperanan menyebar kepentingan takaful kepada masyarakat yang selalunya bersikap pasif, tidak secara sendiri ingin mengetahui lebih lanjut mengenai takaful. Aspek kesesuaian dan keperluan takaful kepada bakal peserta perlu diberi keterangan berdasarkan keperluan dan kemampuan mereka. Masyarakat dapat manfaat dengan menjimatkan masa dan wang melalui penerangan dan khidmat nasihat pengurusan risiko dan kewangan peribadi ini.

Pengantara takaful perlu meminta bakal peserta memberi maklumat tepat kesihatan, pekerjaan, hobi, kedudukan kewangan, cara hidup serta tempat tinggal. Contohnya, jika bakal peserta memaklumkan bahawa mereka mempunyai penyakit tertentu, maka pengantara takaful tidak boleh menyembunyikan fakta ini daripada dicatat dalam borang cadangan takaful.

Kontrak yang dibuat di antara peserta dengan pengendali takaful adalah berdasarkan kepada maklumat diperolehi itu. Sebaliknya, jika pengantara takaful tidak menasihati bakal peserta agar membekalkan maklumat mereka dengan jujur atau menyembunyikan maklumat bakal peserta seperti penyakit yang ada tetapi mencatatkan atau memaklumkan sihat kepada pengendali takaful maka ini boleh membatalkan kontrak yang dibuat pada kemudian hari.


Dengan itu, pengendali takaful perlu ikhlas dalam menilai kelayakan bakal peserta sebelum menerima mereka menyertai takaful. Mereka tidak sepatutnya mementingkan keuntungan peribadi dengan bersikap sebaliknya.

Pengantara takaful perlu akur bahawa penerangan mereka secara lisan kepada bakal peserta mengenai pelan takaful tidak boleh melencong atau bersalahan dengan pelan perlindungan sebenar seperti ditawarkan dalam kontrak oleh pengendali takaful.

Pengantara takaful secara ikhlas perlu memastikan kontrak takaful diserahkan kepada peserta. Dalam tempoh bertenang 14 hari setelah menerima salinan kontrak, peserta sekurang-kurangnya dapat menilai dan memahami kontrak. Peserta boleh membatalkan pelan takaful yang baru disertai dalam tempoh ini dengan mendapat semula bayaran yang telah dibuat. Pengantara takaful perlu memaklumkan peserta takaful kepentingan kontrak dan tempoh bertenang ini agar mereka mendapat maklumat dan berpuas hati dengan kandungan pelan takaful yang disertai.

Ini sebahagian contoh yang memerlukan ketelusan dan keikhlasan daripada pengantara atau ejen takaful.

Dengan sikap ikhlas, pengantara takaful sebenarnya memenuhi tuntutan syariah dan akhirnya membawa imej yang baik dan menggalakkan masyarakat menerima pengurusan risiko yang perlu dikawal selia pihak berkenaan secara berterusan agar dapat membebaskan diri daripada unsur gharar, maisir dan juga riba. aseammm@gmail.com


Olahan daripada artikel:Pengantara Takaful Perlu Ikhlas, Jujur Beri Penerangan



 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...