Tuesday, June 28, 2011

Mengurus Risiko Keselamatan Diri



 Pengurusan risiko ialah segala tindakan untuk menjauhkan kita ditimpa musibah harta benda, nyawa dan kecederaan.  Dalam al-Quran yang bermaksud “…dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan…” (Al-Baqarah, ayat 195). 
  
Manusia yang inginkan keselamatan diri terpelihara tidak semata-mata berserah dengan hanya bertawakal tetapi mereka bertawakal dengan usaha dan tindakan.  Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda kepada seorang Badwi yang meninggalkan untanya tidak bertambat “Kenapa tidak kamu tambatkan unta kamu?”  Orang Badwi itu menjawab, “Saya berserah kepada Allah”.   Nabi kemudian bersabda: “Ikat unta kamu dahulu kemudian baru berserah kepada Allah”.  (Hadis riwayat imam Tirmizi). 

Dengan kedatangan musim perayaan, ramai pulang ke kampung meninggalkan rumah di bandar-bandar dalam tempoh panjang.  Pada masa yang sama berlaku peningkatan kenderaan di jalan raya. 

Pada masa yang sama juga, berlaku risiko tinggi kejadian pecah masuk rumah.  Begitu juga di jalan raya kadar risiko terlibat dalam kemalangan meningkat.  Keselamatan diri dan keluarga semasa di kampung juga perlu diberi perhatian khasnya anak-anak.

Dengan mengurus risiko secara baik, mengambil langkah berjaga-jaga dalam semua keadaan sudah tentu dapat menghindar dan mengurangkan kebarangkalian kejadian buruk menimpa kita. 

Rumah yang ditinggalkan mesti dikunci pintu dan tingkap dengan sempurna, menambahkan mangga, menghentikan hantaran susu, suratkhabar, mengemaskinikan maklumat kepada rukun tetangga setempat, jiran, mengambil nombor telefon jiran, memaklumkan polis, memastikan lampu terpasang pada malam. 

Untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya antara lain, sebelum perjalanan perlu pastikan minyak enjin, air, tekanan angin tayar, termasuk tayar simpanan, perkakas menukar tayar, tanda kecemasan, lampu utama, lampu isyarat, hon, brek semuanya berada dalam keadaan memuaskan.  Dalam pemanduan jarak jauh, perlu dipastikan masa dan perjalanan sesuai dengan kesegaran mata dan tubuh badan. 

Bersikap menghormati, beri kerjasama dengan pengguna jalan raya yang lain dengan baik, sabar perlu menjadi amalan.  Sebaliknya, pemanduan tergesa-gesa, tidak cermat dan memecut untuk cepat sampai ke destinasi mesti dielakkan. 

Di kampung, aspek keselamatan kita khasnya anak-anak perlu diberi perhatian.  Kelibat anak-anak perlu dipantau sepanjang masa.  Pastikan mereka jauh daripada jalan raya, parit, kolam, sungai. Jadi keprihatinan golongan dewasa terutamanya ibu bapa amat ditagih di sini.

Perlindungan takaful untuk diri, keluarga dan harta penting dan turut termasuk dalam menguruskan risiko keselamatan kita.

Ini merupakan sebahagian usaha dan tindakan yang boleh kita ambil sebagai langkah berhati-hati untuk mengurus risiko keselamatan diri.  Aspek lain sangat penting yang biasa dipandang remeh oleh sebahagian besar masyarakat ialah memohon doa meminta kepada Allah SWT melindungi keselamatan diri, harta benda kita. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...