Wednesday, March 23, 2011

Sikap Manusia Punca Kemalangan Jalan Raya

Kemalangan jalan raya menjadi ancaman utama keselamatan masyarakat.    

Hasil kemalangan bukan sahaja mengorbankan nyawa, membawa kecederaan bahkan termasuk ibu, bapa, isteri, anak-anak kehilangan tempat bergantung, majikan kehilangan tenaga kerja, masyarakat kehilangan harta benda dan juga masa.
Hasil kajian menunjukkan faktor manusia merupakan antara punca kemalangan.

Dalam kajian Othman Che Puan bertajuk Diver’s Car Following Headway On Single Carriageway Roads memberi dapatan sikap pemandu lebih cenderung mengikut kereta dari belakang secara dekat yang meninggikan keberangkalian berlaku kemalangan. (Universiti Teknologi Malaysia, 2004).

Untuk mengubah sikap yang sudah menjadi kebiasaan masyarakat bukan suatu yang mudah.  Semua aspek pencegahan kemalangan jalan raya saling lengkap-melengkapi dalam usaha mencegah kemalangan jalan raya.  Jika aspek perundangan dan penguatkuasaan sahaja dilaksanakan, sudah tentu akan wujud kelopongan dalam undang-undang seperti jika tiada pegawai penguatkuasa di hadapan mata, pengguna yang hanya takut kepada penguatkuasaan undang-undang akan terus bersikap degil umpamanya terus melanggar peraturan jalan raya. 
Untuk mengatasi kelemahan ini, aspek pendidikan perlu diberi perhatian khusus kepada masyarakat.

Islam telah pun memberi garis panduan ilmu untuk membentuk sikap murni dan positif manusia.  Antara sikap yang dapat membentuk sikap murni pengguna jalan raya ialah amanah, bertolak-ansur, sabar, tolong-menolong dengan kebaikan dan nasihat-menasihati.

Pengguna jalan raya yang beramanah akan akur kepada peraturan jalan raya seperti mematuhi had kelajuan, berhenti di lampu merah, tidak memotong di garisan.  Apabila memohon lesen memandu, sebenarnya pengguna jalan raya telah mengikat kontrak dan setuju dengan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib untuk memenuhi peraturan dan syarat serta mematuhi undang-undang jalan raya.  Persetujuan di antara dua pihak dalam sesuatu urusan merupakan kontrak dan amanah yang perlu dipenuhi.  Dalam sebuah hadis disebut: “Tidak sempurna iman seseorang yang tidak amanah dan tidak sempurna agama seseorang yang tidak menunaikan amanah.” (Tirmizi, Ahmad, Tabbrani).

Pengguna jalan raya akan memandu secara bertolak-ansur, berhemah dan tidak terburu-buru apabila memahami bahawa tindakan pemanduan sebaliknya boleh membawa kepada kemalangan maut.  Ini adalah kerana menjaga nyawa manusia merupakan salah satu matlamat Syariah.  Islam tidak mengizinkan kehilangan nyawa manusia oleh tindakan manusia yang lain melainkan memenuhi tuntutan agama seperti dalam hukuman qisas.  Kaedah fiqh menjelaskan bahawa apa-apa perkara yang boleh menghalang untuk memenuhi kewajipan maka penghalang itu wajib dihilangkan. 

Sebagai perbandingan, pemanduan yang mementingkan diri sendiri, terburu-buru, memandu sambil leka membuat kerja lain sehingga menghilangkan tumpuan pemanduan merupakan sebahagian perkara yang boleh membawa kepada kemalangan dan kehilangan nyawa manusia.  Pemanduan seperti ini wajib dielakkan.

Pengguna jalan raya yang bersikap sabar akan memenuhi tuntutan agama dan mendapat ganjaran pahala.  Dalam firman Allah ayat 96 surah al-Nahl menceritakan ganjaran pahala besar kepada manusia yang bersabar iaitu: “…dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik…”.  

Sikap berhati-hati dan fokus ketika memandu menjadi satu kemestian di kalangan pemandu.  Dalam sebuah hadis, Nabi SAW memberi ingatan, maksudnya “Sesungguhnya Allah suka seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun” (Baihaqi).  Bertekun memfokus dalam pemanduan termasuklah mengambil perkiraan kedudukan, pergerakan, jarak kenderaan di sekeliling kita sebagai pemandu.  Dengan mengambil perkiraan ini, pemandu sebenarnya boleh mengawal kenderaannya dengan lebih baik bagi mengelakkan tragedi kemalangan jika sesuatu pergerakan kenderaan di sekeliling tiba-tiba terbabas dan sebagainya.

Sikap tolong-menolong penting di jalan raya.  Ini kerana jalan raya merupakan tempat tumpuan semua pihak untuk proses pengankutan. Tolong-menolong di jalan raya termasuklah memberi laluan kepada pengguna yang lain apatah lagi ketika kecemasan.

Islam turut menggalakkan umatnya membuat kajian dan penyelidikan dari masa ke semasa berkaitan dengan urusan keduniaan mereka.  Dalam sebuah hadis, nabi SAW bersabda yang bermaksud “…kamu lebih tahu urusan keduniaan kamu...” (Muslim).  Ini termasuklah dalam usaha mencari penyelesaian kepada kes kemalangan jalan raya yang sentiasa menjadi ancaman kepada masyarakat. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...